Friday, January 29, 2010

ARUS ELEKTRIK PUNCA KANSER

Oleh
 
NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
 
  
ISU gelombang elektronik daripada peralatan elektrik yang boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan sudah lama diperkatakan dan ia menjadi bahan kajian ramai saintis di dunia bagi mengesahkan dakwaan itu.
  
Laporan terbaru yang disiarkan akhbar Independent di London baru-baru ini mendakwa gelombang elektronik, termasuk daripada telefon bimbit, boleh mencetuskan masalah kemurungan, bunuh diri, keguguran dan barah pada kanak-kanak.
 
Bahkan Penyelidikan Barah Antarabangsa (sebahagian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia) melaporkan, gelombang elektronik yang dianggap sebagai satu bentuk baru pencemaran di rumah mempunyai kemungkinan menjadi punca barah manusia.
 
Laporan ini disokong kenyataan Dekan Fakulti Kesihatan Umum Universiti New York, Profesor David Carpenter yang mengatakan gelombang elektronik berkemungkinan menjadi punca sehingga 30 peratus semua jenis barah kanak-kanak.
 
Jabatan Kesihatan California, Amerika Syarikat turut mendakwa ia mungkin penyebab barah darah atau leukimia di peringkat dewasa, barah otak dan kemungkinan barah payu dara serta punca satu daripada setiap 10 kes keguguran.
  
Kajian meliputi pelbagai peralatan elektrik yang digunakan setiap hari di rumah seperti televisyen, komputer, pembakar roti, selimut pemanas mahupun jam radio yang diletakkan di kepala katil turut memberikan kesan kepada kita.
  
Manakala medan frekuensi seperti daripada ketuhar gelombang mikro, pemancar televisyen, radio dan telefon bimbit menghasilkan pencemaran lebih tinggi. Lebih lama sesuatu barangan elektrik itu dipasang, makin banyak kesan pencemaran diterima badan, walaupun ia diletakkan berjauhan dari tempat duduk.
 
Sebarang peralatan yang diletakkan berhampiran kepala seperti alat pengering rambut dan telefon bimbit dipercayai memberikan kesan lebih tinggi dan berbahaya.
 
Malah, wayar juga boleh menghasilkan medan elektrik, walaupun tiada arus yang melaluinya.
 
Antara kesan alah kepada pencemaran gelombang elektronik ini ialah berasa loya, pening, sakit, sukar tidur, murung dan payah mengingat sesuatu.
 
Jika benar dakwaan ini, bermakna kita semua terdedah kepada ancaman penyakit kerana boleh dikatakan semua peralatan di dalam rumah dan tempat kerja menggunakan arus elektrik.
 
Persoalannya, sejauh mana arus elektrik boleh membahayakan kesihatan? Tentu ia jelas bertentangan dengan tindakan pusat perubatan yang menggunakan arus elektrik bagi merawat pesakit.
 
Menurut pengurus fisioterapi, Vimala V Marimuthu, kebanyakan alat digunakan untuk membantu proses pemulihan dalam fisioterapi menggunakan kuasa elektrik rendah iaitu pada frekuensi antara dua hingga 150 Hz saja. 
 
Pada frekuensi serendah ini, arus elektrik dapat merangsang otot spastik supaya ia dapat berfungsi semula. Selain itu, rangsangan daripada arus elektrik yang hanya dirasakan seperti gigitan semut didapati berkesan untuk meredakan kesakitan dan kekejangan otot serta menguatkannya semula.
  
"Ada beberapa kaedah digunakan seperti Transcutaneous Electrical Nerve Stimulation (TENS) untuk merangsang saraf dan meredakan kesakitan yang dialami pesakit artritis, firomyalgia, neropati dan kesakitan akut lain.
  
"Bagi otot dan tisu yang lebih dalam seperti pada paha, ada kaedah khusus iaitu Short Wave Diathermy dengan frekuensi sebanyak 27.12 MHz. Kaedah ini digunakan untuk melegakan sakit akibat keradangan sendi pada tulang belikat dan bahu, siku, leher, masalah ligamen pada lutut, sakit belakang, plantar fascitis dan sinusitis,” katanya.
  
Selain itu, rawatan arus elektrik digunakan untuk merawat kecederaan sukan, kelemahan otot mengawal kencing (biasanya berlaku pada perempuan selepas melahirkan anak), merangsang proses penyembuhan selepas pembedahan serta asma (dengan gabungan fisioterapi dada).
  
Perunding Geriatrik dan Pakar Penuaan Sihat, Dr Rajbans Singh, juga tidak menolak kemungkinan timbul masalah kesihatan jika terlalu terdedah kepada gelombang elektronik, terutama di kalangan kanak-kanak.
 
Katanya, banyak kajian menunjukkan kanak-kanak yang menggunakan telefon bimbit sejak kecil lebih terdedah kepada risiko ketumbuhan otak kerana pada usia begitu otak mereka masih berkembang dan gelombang elektronik boleh merangsang penghasilan tumor.
 
Berdasarkan teori radikal bebas, gelombang elektrik boleh menghasilkan banyak radikal bebas yang boleh membahayakan kesihatan. Kehadiran radikal bebas ini meningkatkan peluang seseorang mendapat kanser, mempercepatkan proses penuaan, sakit jantung dan masalah degeneratif (kemerosotan otak).
 
"Dalam keadaan sekarang, sukar untuk menghindari gelombang elektrik. Namun, ada banyak cara boleh dilakukan untuk meningkatkan daya ketahanan badan dan kaedah paling utama ialah mengubah gaya hidup serta mengamalkan pemakanan sihat.
 
"Banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan mengandungi bahan antioksidan bagi melawan tindakan radikal bebas. Walaupun kita disaran mengambil sekurang-kurangnya lima hidangan, untuk mendapat manfaat terbaik amalkan makan sembilan hingga 10 hidangan sayur dan buah setiap hari,” katanya.
 
Ia bukan saja dapat menjaga kesihatan dan melawan tindakan radikal bebas, tetapi pengambilan sayur-sayuran serta buah-buahan boleh mencegah penyakit kanser. Pilihan makanan juga perlu pelbagai. Lebih berwarna warni, lebih baik.
 
Masalah biasanya timbul apabila sesuatu alat elektrik digunakan secara berlebihan.
 
Justeru, beliau menasihatkan semua peralatan digunakan secara sederhana dan mulakan gaya hidup sihat.
 
Ini kerana berdasarkan pengalamannya, kebanyakan penyakit berpunca daripada gaya hidup kurang bersenam dan pemakanan tidak seimbang.
 
Untuk mengurangkan pencemaran gelombang elektronik, beliau menyarankan supaya :
 
1. Kurangkan menonton televisyen.

2. Pastikan jarak tempat duduk ketika menonton televisyen; iaitu sekurang-kurangnya tiga meter dari kaca TV.

3. Kekalkan jarak satu atau dua kaki dari komputer. Berehat seketika selepas satu atau dua jam bekerja di depan komputer.

4. Hadkan penggunaan telefon bimbit. Gunakan alat bebas tangan bagi mengurangkan kesan gelombang radio pada kepala. Ia juga dapat mengurangkan risiko gangguan pada keseimbangan kimia otak (serotonin) yang boleh menyebabkan kemurungan.

5. Gunakan ketuhar gelombang mikro hanya untuk memanaskan makanan dan bukan untuk memasak. Ini kerana memasak mengambil masa lebih lama. Ini bermakna lebih lama makanan terdedah kepada gelombang radio.

6. Ubah gaya hidup. Mulakan bersenam dan amalkan pemakanan seimbang dengan melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.

7. Ambil makanan tambahan seperti Omega-3 yang terbukti baik untuk atasi kemurungan dan kesihatan sendi.

8. Buat pemeriksaan tahap radikal bebas dalam badan supaya anda lebih bersedia membuat perubahan dalam hidup.
 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...